Wahai kaum Muslimin yang diMuliakan,
Sesungguhnya Islam itu adalah agama yang syumul, yang bukan hanya mengatur hubungan diri kita dengan Allah SWT, menerusi hukum-hakam berkaitan ibadah dan akidah; dan bukan juga hanya mengatur hubungan kita dengan diri kita semata-mata, menerusi hukum-hakam berkaitan dengan pemakanan, pakaian dan akhlak - namun Islam juga mengatur hubungan kita sesama manusia yang mana peraturannya terangkum didalam hukum-hukum muamalah.
Tidak sepatutnya kita mengaku beriman dengan Allah dan RasulNya, jika kita hanya menitik-beratkan penjagaan hukum syara’ yang bersifat peribadi (ibadah, makanan, pakaian dan akhlak) semata-mata tanpa memberikan perhatian yang sama terhadap hukum syara’ berkaitan interaksi kita sesama manusia (pemerintahan, ekonomi, sosial, hukuman, dasar pendidikan dan dasar luar-negara) yang dikala ini tidak diatur dengan hukum Islam.
Berapa ramai dari kita yang berasa “jijik” dengan transaksi ribawi di dalam sistem perekonomian negara? Berapa ramai pula dari kita yang “geli-geleman” dengan sistem pendidikan negara yang mendidik rakyatnya untuk berhutang semenjak di peringkat universiti lagi dibawah skim PTPTN yang ribawi itu? Mengapakah hal-hal seperti ini boleh berlaku sedangkan Allah SWT telah berfirman:
“Dan demi Tuhanmu, tidaklah mereka itu beriman sehingga mereka menjadikan engkau sebagai hakim di dalam perkara yang mereka perselisihkan”
“Apa yang dibawakan oleh Rasul kepadamu maka terimalah ia dan apa yang dilarang bagimu maka tinggalkanlah ia “ [TMQ Al Hasyr (59):7]
Dan berapa ramaikah dari kalangan kita yang merasa “loya” melihat gelagat para pemimpin kita berjabat tangan sambil ditepuk-tepuk belakang mereka oleh pemimpin asing yang tangannya berlumuran dengan darah umat Islam Iraq, Palestin dan Afghanistan? Berapa ramaikah…..??
Jawapan Kepada Maruah Umat Islam Yang Tercalar
Apakah yang menyebabkan umat Islam kehilangan kepekaannya terhadap perlaksanaan hukum-hukum selain daripada hukum Islam? Walhal, pengabaian didalam penerapan hukum Islam inilah yang menyebabkan berlakunya penghinaan demi penghinaan ke atas umat Islam pada hari ini. Allah SWT telah memperingatkan kita semua sebagaimana di dalam firmanNya:
“Barangsiapa yang tidak memutuskan (sesuatu perkara) menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasiq” [ TMQ Al Maidah (5) : 47]
“Barangsiapa yang tidak memutuskan (sesuatu perkara) menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim” [ TMQ Al Maidah (5) : 45]
“Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir” [ QS Al Maidah (5) : 44]
Ayat-ayat di atas merupakan suatu larangan yang tegas terhadap sebarang bentuk perlaksanaan hukum selain daripada apa yang telah diturunkan oleh Allah SWT. Walaupun demikian, ianya masih tidak dapat membentuk sensitiviti umat Islam hari ini terhadap perlaksanaan hukum-hukum kufur. Melalui penelitian ke atas masyarakat, kita akan dapat memahami mengapa ianya berlaku. Masyarakat, jika diperhatikan dari realitinya terbina daripada empat komponen iaitu a) Individu di dalam masyarakat, b) Pemikiran dan c) Perasaan di kalangan individu serta d) Sistem yang diterapkan di kalangan individu. Disebabkan sistem yang diterapkan adalah sistem yang selain daripada sistem Islam, maka individu-individu di dalam masyarakat juga tidak mempunyai pemikiran dan perasaan yang bercirikan Islam. Pembentukan pemikiran dan perasaan individu mempunyai pengaruh ke atas Mafahim (konsep kehidupan yang mempengaruhi sikap seseorang), Miqyas (kriteria/piawai kehidupan dalam menentukan sikap seseorang) dan Qana’ah (ketaatan seseorang kepada aspirasi masyarakatnya yang terbentuk dari mafahim dan miqyas yang diguna-pakai) yang terbentuk di dalam masyarakat. Melalui kekuatan pemerintahan kufur, konsep sekularisme yang menjadi asas kepada pembinaan masyarakat masakini telah menyebabkan Mafahim, Miqyas dan Qana’ah (2MQ) setiap kaum muslimin tidak lagi bersandar kepada Islam. 2MQ kufur inilah yang menjadi punca kepada hilangnya kepekaan umat terhadap perlaksanaan hukum-hukum selain Islam yang keharamannya merupakan ibu segala keharaman.
2MQ ini amat bergantung kepada bentuk pemikiran yang ditanamkan ke atas setiap individu di dalam masyarakat. Jika pemikiran sekular dan kapitalis yang ditanamkan, maka 2MQ yang ada pada mereka bersifat kapitalis, manakala jika pemikiran Islam yang ditanamkan, akan lahirlah individu-individu yang mempunyai 2MQ yang bersifat Islam. Pembentukan 2MQ yang bersifat Islam ini akan melahirkan individu muslim yang berfikir dengan pemikiran Islam, menjadikan pemikiran Islam sebagai penentu kepada perbuatannya serta meyakini akan hukum-hukum kehidupan yang telah ditetapkan oleh Islam. Mereka seterusnya akan dapat menentukan samada apa yang sedang dilaksanakan disekelilingnya benar-benar menepati apa yang telah ditetapkan oleh Islam.
Oleh kerana itu, kepekaan umat terhadap perlaksanaan hukum-hukum kufur ini harus dihidupkan segera dengan mengembalikan mereka kepada 2MQ Islam. Pembentukkan 2MQ walaubagaimanapun tidak akan sempurna tanpa sokongan sebuah kuasa pemerintahan. Kuasa pemerintahan tersebut haruslah sistem pemerintahan Islam yang seharusnya dimanifestasikan oleh Sistem Pemerintahan Khilafah sebagai sebuah entiti yang akan menerapkan Islam ditengah-tengah masyarakat. Bahkan, sistem inilah yang akan memastikan bahawa 2MQ ini terbentuk dengan bersandarkan kepada Islam.