Pengajaran Israk dan Mikraj

Menurut Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi, menerusi peristiwa berkenaan, kita boleh
fokuskan kepada dua perkara penting, pertama berhubung dengan Masjid al-Aqsa
dan hubungan dengan Masjid al-Haram, kedua mengenai kewajipan solat yang
diserahkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW. Persoalannya di sini, mengapa Allah
tidak memperjalankan baginda terus ke langit ketujuh, tetapi singgah dahulu di
Masjid al-Aqsa? Ini kerana Allah mahukan agar baginda bertemu dengan para anbiya
terlebih dahulu bagi menyatakan sokongan padu mereka terhadap kerasulan Nabi
Muhammad, di samping mahu baginda singgah di sebuah tempat yang penuh
dengan keberkatan daripada Allah SWT seperti yang disebut dalam ayat pertama
surah al-Israk. Kepimpinan baginda menjadi titik tolak penyatuan akidah dan syariat
di kalangan para anbiya, justeru baginda menjadi imam solat kepada mereka, iaitu
kepimpinan bersifat global, bukan hanya untuk kaum atau bangsa tertentu, malah
buat manusia sejagat yang terdiri daripada pelbagai etnik, suku kaum, bangsa yang
menunjukkan kebesaran Allah dalam mencipta makhluk bernama manusia.
Hubungan Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa tidak dapat disangkal oleh individu
Muslim yang sayangkan agamanya. Ini kerana dari segi sejarah menunjukkan Masjid
al-Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam sebelum berpindah kepada Masjid al-
Haram hingga ke hari ini.
Justeru adalah menjadi tanggungjawab semua pihak khususnya di kalangan umat
Islam membebaskan Masjid al-Aqsa dari cengkaman rejim Yahudi-Israel, kerana ia
ada kaitan dengan persoalan akidah mereka. Pengajaran kedua terpenting menerusi
peritiwa Israk dan Mikraj, ialah pelaksanaan ibadat solat lima waktu, ia merupakan
mikraj (lif/tangga) seorang Muslim menghadap Tuhannya, kepentingan solat juga
tidak dapat dipersoal oleh mana-mana individu Muslim, walau apapun jawatan dan
kedudukannya dalam masyarakat. Apabila solat seseorang itu beres dengan
Tuhannya, maka akan bereslah urusan hidupnya yang lain, hubungan roh seorang
muslim itu sangat penting dengan Tuhannya, justeru ia ada kaitan dengan kedua-dua
masjid yang disebutkan di atas. Apabila seseorang itu menunaikan solat dengan
penuh khusuk dan tawaduk, dia seolah-olah sedang berkata-kata dengan Allah, ia
terserlah ketika membaca al-Fatihah tujuh belas kali sehari semalam, untuk
menyatakan munajat dan aduannya kepada Allah bagi memudahkan tugas dan
peranannya untuk menyeru manusia ke jalan kebenaran. Wallahua’lam.

www.mypsa-wa.org/pdf/isra_mikraj.pdf

0 comments: